Perkataan zuhud bila dilihat ertinya dalam kamus Arab atau mengikut pengertian bahasa biasa ialah meninggalkan dunia. Tetapi mengikut istilah Islam, erti zuhud itu ialah hati tidak terpaut atau tidak terpengaruh dengan dunia dan nikmat-nikmatnya. Pengertian yang kedua, iaitu mengikut pengertian syariat inilah yang akan dibentangkan. Kerana zuhud mengikut syariat adalah disukai oleh Allah dan Rasul. Ia juga termasuk dalam sifat-sifat mahmudah.
Kalau demikianlah pengertian zuhud itu, tidak semestinya orang yang zuhud itu tidak memiliki dunia atau mesti meninggalkan segala nikmat-nikmat dunia. Boleh jadi nikmat dunia yang dimilikinya lebih banyak dari orang lain atau dia mengendalikan dunia dengan banyaknya. Namun demikian, dunia yang banyak itu, yang dimilikinya atau yang dikendalikannya itu tidak mempesonakannya. Sedikit pun dunianya yang banyak itu tidak terjatuh ke hatinya. Bahkan dunia itu ada atau tidak, sama saja baginya. Dia memiliki dunia serta mentadbirnya adalah dengan tujuan agar dunia itu dijadikan alat untuk membolehkannya beribadah kepada Allah SWT dan berkhidmat sesama manusia. Dunia yang dimilikinya itu dijadikan jambatan untuk ke Akhirat. Ini sesuai pula dengan tuntutan ajaran Islam yang dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu adalah tanam-tanaman untuk Akhirat.” (Riwayat Al ‘Uqaili)
Itulah Islam. Islam mengajar atau mendidik kita bahawa dunia itu boleh diambil tetapi biarlah ia boleh dijadikan modal untuk beribadah kepada Allah dan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya kepada manusia. Demikianlah, supaya dengan itu membolehkan seseorang itu mengaut pahala sebanyak-banyaknya untuk dia memperolehi nikmat Syurga di Akhirat. Siapa yang menjual dunianya untuk Allah atau untuk Akhiratnya, maka Allah akan beli dengan bayaran yang ber-ganda-ganda tinggi nilainya. Iaitu digantikan dengan nikmat Syurga yang kekal abadi dan terhindar daripada seksa Neraka yang amat azabnya.
Persoalannya sekarang, bagaimana hukum dan cara kita mengambil dunia ini? Dan bagaimana cara mengendalikan dunia ini setelah realitinya ia berada di hadapan kita?
Ada beberapa kategori iaitu:
1. DUNIA YANG WAJIB
Dunia yang wajib diambil selagi ia halal ialah sekadar keperluan asas saja. Yang tidak boleh tidak (dharuri), yang mesti ada seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan lain-lain lagi. Kalau tidak diambil akan berlaku kecacatan di segi syariat atau di sudut fizikal. Siapa meninggalkannya, haram hukumnya kecuali setelah diusahakan tidak berjaya memperolehinya. Ini tidak menafikan zuhud.
2. DUNIA YANG SUNAT
Dunia yang sunat diambil ialah perkara yang digunakan (selagi halal) untuk kemudahan di dalam menunaikan tanggungjawab yang wajib serta digunakan untuk menghasilkan perkara yang tidak boleh tidak. Seperti kenderaan yang perlu, alat-alat rumah yang memudahkan menjalankan tugas rumah tangga seperti dapur gas, pinggan mangkuk, periuk, dulang, mesin basuh, mesin jahit dan lain-lain lagi. Agar dengan itu tidak membuang masa yang banyak. Dan memudahkan menjalankan tanggungjawab. Bahkan adakalanya menjadi wajib aradhi. Kalau tidak ada alat-alat itu maka tergendalalah urusan yang wajib. Ini juga tidak menafikan zuhud. Perlu diingat, keperluan seseorang antara satu sama lain tidak sama. Maka sudah tentulah pula alat-alat keperluan tidak sama. Sebagai contoh, alat-alat keperluan seorang guru sudah tentu tidak sama dengan alat-alat keperluan seorang petani. Kiaskanlah yang lain-lainnya.
3. DUNIA YANG HARAM
Dunia yang haram kenalah ditolak terus seperti arak, wang judi, rasuah, hasil riba, hasil zina, tipu, rompak dan lain-lain lagi. Ini kerana perbuatan yang haram itu akan membawa ke Neraka.
4. DUNIA YANG MAKRUH
Dunia yang makruh diambil iaitu harta-harta yang syubhat. Yakni perkara-perkara yang samar-samar bercampur antara yang halal dan yang haram, yang tidak dapat dipastikan yang mana halal dan yang mana haram. Maka hukumnya makruh. Bagi orang yang warak, dia terus meninggalkannya. Sesiapa yang terlibat dengan harta syubhat ini ternafilah zuhudnya kerana ia dibenci.
5. DUNIA YANG HARUS
Dunia yang mubah (harus) diambil iaitu yang berbentuk untuk bersedap-sedapan, untuk keselesaan seperti kerusi yang mewah, buaian, kerusi rehat, tilam, katil yang mahal, bilik yang agak luas daripada kadar biasa tetapi tidak keterlaluan besarnya, kenderaan yang mewah dan lain-lain lagi, selagi halal. Cuma hisabnya banyak dan ia juga menafikan zuhud.
6. PEMBAZIRAN
Perkara yang halal sekalipun, kalau digunakan terlalu berlebih-lebihan, sudah melebihi batas keselesaan dan bersedap-sedapan, ini sudah dianggap pembaziran. Sedangkan pembaziran adalah haram di sisi Allah. Dalam Al Quran pembaziran itu dianggap sebagai kawan syaitan. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara kepada syaitan.” (Al Israk: 27)
Jadi, jika kita dapat menggunakan atau mengendalikan dunia yang dimiliki, yang tidak menafikan zuhud iaitu cara yang pertama dan kedua (dunia yang wajib dan sunat), ia masih dikatakan zuhud.
Dalam Islam, kalau seseorang itu mengambil dunia sekadar yang perlu dan untuk kemudahan atau paling tidak untuk keselesaan, kemudian selain daripada itu, dia tidak mahu mengusahakannya kerana kurang yakin yang dia boleh amanah dalam menggunakan dunia itu untuk Allah dan masyarakat, maka tidak salah dia berbuat demikian. Demikianlah sebaliknya, kalau seseorang itu yakin yang dia dapat berlaku amanah pada dirinya terhadap dunia atau dapat mengendalikan dunia untuk Allah dan masyarakat dengan sebaik-baiknya, yakni dia yakin boleh berbuat kebaikan dan kebajikan yang banyak serta boleh bersyukur, maka tidak mengapa dia usaha mencari kekayaan selagi halal. Padanya ada keharusan berbuat demikian. Ini juga tidak menafikan zuhud.
Sebagai contoh: Katalah dunia itu ialah jawatan tinggi. Kita tidak yakin dengan jawatan itu kita boleh berlaku amanah terhadap Allah dan masyarakat, maka tidak salah kalau kita menolak jawatan tersebut. Sebaliknya, kalau kita yakin dengan jawatan itu kita dapat amanah dengan Allah dan masyarakat, maka tidak salah pula kita mengambilnya. Kalau harta, kita boleh mengambil sebanyak mana sekalipun. Oleh itu kenalah kita hadapi dunia ini dengan iman dan taqwa agar dapat diuruskan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.
Perlu rasanya saya ingatkan, jika berlaku dalam satu masa atau satu zaman, secara umum masyarakat Islam tidak dapat melaksanakan fardhu kifayah; menyediakan keperluan makan minum yang halal, membangunkan tempat-tempat pendidikan, membeli alat-alat senjata untuk melawan musuh-musuh, memberi biasiswa pada anggota-anggota masyarakat yang cerdik supaya berilmu di berbagai-bagai bidang yang menjadikan masyarakatnya tidak bergantung kepada orang lain; maka bagi orang yang mampu di waktu itu, wajib aradhi dia mengusahakan hingga terlaksananya fardhu kifayah tadi. Kalau tidak, akan menjadi satu kesalahan pada mereka.
Juga diingatkan, apabila berzuhud jangan sampai kita atau Islam terhina. Ini dilarang kecuali kita memang tidak mampu walaupun sudah berusaha untuk mengadakan keperluan-keperluan yang asas. Di waktu itu tidak mengapa dan kenalah kita bersabar. Jadi, kita kena faham sungguhsungguh akan pengertian zuhud ini. Kalau tidak, jadilah kita orang yang mewah tidak bertempat atau miskin sampai terhina atau bermewah-mewah di sebarang tempat.
Maksudnya begini: untuk dapat mengekalkan zuhud mesti dilakukan beberapa cara. Di antaranya:
1. Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita bermewah-mewah lauk-pauknya. Tetapi kalau kita makan seorang, eloklah berzuhud.
2. Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai tidak mencukupi keperluan-keperluan asas. Jadi dibenarkan miskin asal cukup keperluan asas.
3. Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni di waktu orang semuanya miskin, tidak dibenarkan kita bermewah-mewah. Agar kekayaan itu dapat disalurkan kepada orang miskin.
Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini tetapi perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu atau jemaah atau kumpulan atau pemimpin atau mengikut tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang dan lain-lain lagi.
Contoh: Mengikut ukuran semasa yang tidak menafikan zuhud:
1. Di zaman ini untuk menjimatkan masa, tenaga dan lain-lain lagi, kenalah naik kenderaan kapal terbang untuk perjalanan yang jauh, bukan pakai kereta lembu atau kuda atau kereta.
2. Di zaman moden ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh, kenalah kita gunakan senjata-senjata canggih bukan lagi menggunakan keris.
Contoh: Mengikut ukuran kumpulan atau jemaah yang tidak menafikan zuhud:
Tidak salah bagi orang yang berjuang yang sentiasa sibuk, demi menjimatkan masa, tenaga dan lain-lain lagi serta selalu didatangi tetamu, maka di rumahnya dilengkapkan dengan peti ais, dapur gas, mesin basuh dan lain-lain kemudahan. Tidak salah pula mengadakan permaidani di rumah, di pejabat dan di masjid selagi halal dengan tujuan menghormati tetamu atau kepentingan umum. Bahkan di negeri-negeri sejuk, mengadakan permaidani di rumah dan di masjid sudah menjadi wajib aradhi pula.
Bahkan melengkapkan alat-alat kemudahan ini sudah jadi perlu bagi orang yang berjuang yang masanya terbatas. Kalau terlalu lama masa dihabiskan untuk membasuh misalnya, ini dikira termasuk pembaziran masa, tenaga dan lain-lain lagi. Sedangkan waktu itu sepatutnya lebih baik digunakan untuk pengurusan hal-hal yang lebih perlu. Katalah contohnya, dengan adanya mesin basuh, kita ada lebih masa untuk melayan suami terutama kalau suami kita pulangnya pun hanya sekali-sekala. Boleh juga diniatkan semasa mesin basuh itu bekerja, kita dapat rehat atau tidur, dengan tujuan dapat bangun sembahyang malam. Kecuali untuk orang perseorangan yang tidak berjuang atau tidak ada tanggungjawab mengadakan kemudahan-kemudahan ini, dia tergolong orang yang tidak zuhud sebab kalau diberi kemudahan dia akan relaks saja. Mungkin tidur baring saja atau duduk-duduk berbual kosong atau membolehkan dia berlalai-lalai. Ini menjadikan dia cinta dunia.
Berbeza dengan orang yang berjuang, yang masanya terbatas, banyak tanggungjawab dan sentiasa bergerak cepat. Kalau tidak ada alat-alat kemudahan ini, ia akan melambatkan atau mengganggu program-program yang lain. Atau banyak tanggungjawab tidak dapat dilaksanakan.
Contoh lain: Mengikut ukuran pemimpin yang tidak menafikan zuhud. Bagi seorang pemimpin, penting padanya keperluan alat-alat kemudahan yang canggih seperti kereta, telefon, faks, komputer, perbelanjaan perjalanan dan lain-lain lagi. Kalau tidak ada kemudahan alat-alat tadi, sudah tentu tergendala perjuangannya.
Juga diingatkan, kalau duit kita terbatas, janganlah dihabiskan untuk membeli barang-barang untuk kemudahan. Dibimbangkan, nanti tidak ada langsung bahagian untuk kita berbelanja pada perkara-perkara yang asas atau terabai kewajipan fardhu kifayah. Ini akan jadi satu kesalahan. Kerana perkara yang asas, wajib ditunaikan dan membangunkan masyarakat itu adalah lebih perlu supaya terlaksananya fardhu kifayah. Itu lebih patut kita utamakan. Biarlah kita susah sedikit asalkan kewajipan dapat ditunaikan.
CINTA DUNIA
Lawan zuhud ialah cinta dunia. Yakni orang yang hatinya terpaut dengan dunia atau mencintai dunia. Sama ada dia boleh memiliki dunia atau tidak, sedikit atau banyak, maka ternafilah sifat zuhudnya. Antara dunia itu ialah harta, yakni yang berupa wang, emas, intan berlian, rumah, kenderaan, tanah, kebun dan lain-lain lagi. Atau pangkat seperti jawatan raja, perdana menteri, menteri, pengarah, pegawai tadbir, kerani, mufti, kadhi dan lain-lain lagi.
Dunia ini sifatnya mempesonakan macam gadis cantik yang menggamit-gamit. Siapa yang terpandang semua akan jatuh hati. Jadi siapa saja yang memandang atau memiliki gadis cantik ini tidak lepas dari tertarik atau tergoda padanya. Begitulah juga dengan orang yang cinta dunia. Sudah pasti dunia itu akan mempesonakannya. Orang ini tidak akan dapat lepas lari dari ditipu daya olehnya. Allah nyatakan hal ini di dalam firman-Nya: “Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Al Hadid: 20 / Ali Imran: 185)
Allah juga memberi peringatan keras di dalam firman-Nya: “Jangan sampai dunia itu menipu daya kamu.” (Luqman: 33)
Itulah dunia. Kenapa setelah Allah beri dunia, kemudian dilarang-Nya kita mengambil sewenang-wenangnya dan dunia itu dikatakan penipu pula? Apa maksudnya? Maksud dunia itu menipu ialah ia menjadikan manusia lalai, tidak dapat tunduk dan tidak patuh lagi pada syariat Allah SWT. Kemudian cinta dunia boleh menyebabkan seseorang itu menjadikan matlamat hidupnya hanya untuk dunia walaupun dia tahu dunia ini tidak kekal. Dia tahu dia juga akan mati dan akan kembali ke Akhirat. Namun dia tidak buat persiapan atau persediaan apa-apa untuk ke sana.
AKIBAT CINTA DUNIA
Cinta dunia ini boleh mengakibatkan beberapa hal. Di antara-nya ialah:
1. Dia sentiasa bertungkus-lumus memburu dunia sehingga tidak pernah memperhitungkan halal atau haram.
2. Hatinya sentiasa bimbang atau tidak tenang kalau-kalau dia tidak mendapat dunia yang diburunya itu.
3. Dia jadi manusia yang inferiority complex atau hina diri dengan manusia yang berada bilamana dunia itu tidak dapat dimilikinya.
4. Kalau dia memiliki dunia itu, bimbang pula kalau-kalau hilang atau berkurangan daripada tangannya. Bimbang dibinasakan oleh bencana alam atau dicuri oleh manusia dan sebagainya.
5. Kalau dia lihat ada orang lain dapat lebih darinya, dia akan susah hati. Dia akan berusaha mencari lagi untuk mengatasi orang itu dengan apa cara pun, selain merasa hasad dengki terhadap orang itu.
6. Dia jadi orang yang berangan-angan untuk sentiasa menokok tambah lagi dunia yang telah sedia ada dan fikiran serta usahausahanya sentiasa ke arah itu.
7. Dia akan jadi orang yang tamak dan rakus.
8. Kalau dia memiliki dunia, dia akan jadi manusia yang sombong dan boleh jadi kejam.
9. Walaupun niatnya untuk mencari kebahagiaan atau ketenangan tetapi badan, hati dan fikiran tidak kenal rehat, tidak ada ketenangan dan kebahagiaan lagi.
10. Ia tidak akan tunaikan kewajipan dengan dunia yang dimilikinya. Umpamanya, jika dia dapat pangkat atau jawatan dia akan jadikan itu semua untuk kepentingan diri peribadinya lebih daripada Allah SWT dan dari berbakti kepada masyarakat.
11. Kalau dia orang yang berharta, ia tidak akan keluarkan zakat yang menjadi kewajipannya. Apatah lagi kewajipan yang aradhi dan untuk bersedekah.
12. Ia tidak akan tunaikan kewajipan yang aradhi (mendatang). Contoh, orang yang susah tidak dibantunya. Kalau negaranya menghadapi perang, bencana atau kesusahan, dia tidak akan memberi bantuan.
13. Akan timbul pecah belah dan hilang kasih sayang dan persaudaraan kerana sombong dengan dunia dan kepentingan diri sendiri.
14. Manusia akan membencinya. Apatah lagi Allah. Sebab itu sebuah Hadis Rasulullah SAW menyeru: “Hendaklah kamu zuhud dengan apa yang ada di dunia nescaya kamu akan dicintai Allah. Hendaklah kamu berzuhud dari apa yang ada pada manusia nescaya kamu akan dicintai oleh manusia.” (Riwayat Ibnu Majah)
15. Ia akan jadi perosak masyarakat. Kerana hendakkan dunia, dia sanggup menipu, menyogok, rasuah, makan riba, beli undi, beli ijazah, beli kertas periksa, beli perempuan atau lelaki dan lain-lain lagi.
16. Kalau dia berjawatan pemerintah, mungkin dia jadi diktator, kejam, zalim, yang sanggup menjatuhkan lawan dengan menaburkan wang untuk mempertahankan kedudukannya, menghina dan memfitnah orang demi mempertahankan jawatan atau kerana inginkan jawatan itu.
17. Timbullah huru-hara, haru-biru, kucar-kacir, demontrasi atau mungkin juga peperangan di tengah-tengah masyarakat.
Demikianlah buruknya akibat cinta dunia ini. Maka berlakulah kemuncak kerosakan di kalangan umat Islam di akhir zaman ini. Hatta tidak berpadunya mereka kerana inilah. Hingga mereka menjadi lemah dan binasa. Rasulullah sendiri pernah berpesan: “Akan tiba ketikanya kamu akan dikeronyok oleh musuh-musuh sebagaimana orang-orang yang berebut untuk makan suatu hidangan.” Para Sahabat bertanya: “Apakah ketika itu jumlah kami sedikit, ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak, bahkan jumlah kamu ketika itu ramai sekali tetapi seperti buih-buih ketika air bah, sedang kamu ditimpa penyakit wahan.” Mereka bertanya lagi: “Apakah penyakit wahan itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kecintaan kepada dunia dan takut mati.” (Riwayat Abu Daud) Bahkan cinta dunia inilah yang menimbulkan seribu satu macam penyakit masyarakat. Sebab itu Rasulullah mengingatkan kita: “Cinta dunia kepala segala kejahatan.” (Riwayat Al Baihaqi)
Di sinilah pentingnya memiliki sifat zuhud itu. Dunia itu boleh diambil atau dikendalikan dengan syarat kita tidak jatuh hati padanya dan mengambilnya mengikut keperluan-keperluan yang telah disenaraikan tadi. Tetapi kalau tidak ada dunia dalam tangan sedangkan hati gila dunia, tetap juga tidak dikatakan zuhud. Kalau begitu sebagai kesimpulannya, asas zuhud itu terletak pada hati itu sendiri. Bukan bererti tidak ada dunia, bahkan ada dunia tetapi hatinya tidak terpaut dan pandai menggunakan dunia itu pada tempatnya seperti yang telah kita jelaskan, orang itu tetap bersifat zuhud. Sebaliknya kalau tidak ada dunia tetapi hatinya terpaut dengan dunia, tetap dianggap tidak zuhud.